Pendekatan Teori Rasional Emotif Terapi
- Teori ini mementingkan tiga aspek utama iaitu kognitif, emosi dan aspek tingkah laku.
- Memberi penekanan kepada pemikiran, penganalisaan, penilaian, perlakuan dan membuat keputusan.
- Pendekatan teori ini bercorak deduktif atau mengajar, mengarah dan mengutamakan kepada pemikiran daripada kepercayaan yang tidak rasional.
- Kepercayaan ini perlu dicabar dan diperbetulkan supaya dapat mewujudkan sistem kepercayaan yang baik dan rasional.
- Prinsip terapi RET boleh digunakan kepada masalah semasa, masalah yang lain dalam kehidupan dan juga masalah yang mungkin dihadapi pada masa akan datang.
- Fokus prinsip ini adalah kepada pemikiran dan tindakan, bukan hanya mengikut perasaan.
- Terapi ini dianggap sebagai satu proses pembelajaran kerana fungsi kaunselor yang berbagai-bagai.
- Teori Ellis ini berasaskan andaian bahawa individu-individu mempunyai keupayaan bertindak sama ada dalam bentuk rasional mahupun tidak rasional.
Model ABCD
Activating event - Believe - Consequences - Disputing
A - Activating event
Adalah suatu peristiwa, fakta, sikap atau tingkah laku yang dialami seseorang.( Peristiwa pencetus)
Contoh:
" Saya telah gagal dalam pemilihan pemain pasukan hoki sekolah"
B - Believe
Merupakan sistem kepercayaan yang dimiliki oleh seseorang individu. Terdapat dua cara penilaian terhadap peristiwa iaitu rasional dan tidak rasional. Tidak rasional ialah tingkah laku terganggu yang menyebabkan klien tidak dapat berfungsi mengikut norma masyarakat.
Contoh:
B1 - Penilaian tidak rasional
" Saya telah gagal dalam pemilihan pemain pasukan hoki sekolah. Oleh itu, saya adalah seorang yang gagal dalam kehidupan saya."
B2 - Penilaian rasional
" Saya telah gagal dalam pemilihan pemain pasukan hoki sekolah. Saya berasa kecewa. Mulai hari ini saya akan bersedia untuk menghadapi pemilihan yang akan datang."
C - Consequences
Merupakan emosi yang dirasai hasil daripada penilaian B akan peristiwa di A. Emosi ini merupakan perkara yang mengganggu kefungsian klien.
Contoh:
Penilaian B1 : Anda akan berasa sedih dan putus asa.
Penilaian B2 : Anda akan cuba mengatasi perasaan kecewa, dan cuba tumpukan perhatian kepada latihan.
D - Disputing
Merupakan kaedah-kaedah dan strategi saintifik yang digunakan untuk berhujah, mencabar dan membetulkan sistem kepercayaan yang tidak rasional dalam diri klien. (Usaha untuk mengatasi penilaian tidak rasional)
Contoh:
Guru bimbingan dan kaunseling akan membantu anda untuk melawan penilaian yang tidak rasional.
Matlamat Teori Rasional Emotif Terapi
- Bertujuan untuk membantu klien memperkembang pemikiran rasional dan logikal melalui galakan mereka memikir dan memahami pemikiran tidak rasional yang diwarisi masa dahulu.
- Klien dibimbing untuk melihat dan menganalisis peristiwa yang diaktifkan dan ganguan emosi yang dialami.
- Pencapaian matlamat hanya berjaya apabila klien benar-benar memahami punca asas yang menimbulkan gangguan emosi dan harus mengikisnya dengan gantian percayaan rasional atau logikal.
Objektif Teori Rasional Emotif Terapi
- Memperbaiki dan mengubah segala perilaku yang tidak rasional dan tidak logik menjadi rasional dan logik agar klien dapat mengembangkan dirinya.
- Menghilangkan gangguan emosional yang merosakkan.
Kekuatan Teori Rasional Emotif
Teori Rasional Emotif bermatlamat untuk mengajar klien berfikir dan bertingkahlaku secara rasional. Walau bagaimanapun, mereka bebas untuk memilih antara tingkah laku negatif dan tingkah laku positif. Dengan kata lain mereka diajar untuk bertanggungjawab atas pemikiran masing-masing dan konsekuen tingkah laku yang berikutan. Secara amnya, dapat dilihat pendekatan ini cepat sampai kepada masalah yang dihadapi oleh klien. Oleh itu, penyelesaian masalah juga dapat dilakukan dengan segera. Kaedah pemikiran logik yang diajarkan kepada klien dapat digunakan dalam menghadapi gejala yang lain dan kebiasaannya klien akan merasakan diri mereka mempunyai keupayaan intelektual dan kemajuan dari cara berfikir. Hal ini kerana melalui Teori Rasional Emotif klien diajar untuk menerima diri sendiri. Khayalan rasional emotif melatih klien untuk berfikir, berasa dan bertindak sama seperti dalam realiti kehidupan masing-masing.
Kelemahan Teori Rasional Emotif
Walaupun Teori Rasional Emotif mempunyai banyak kekuatan, ia juga tetap memiliki kelemahan yang tersendiri. Antaranya teori ini kurang sesuai bagi klien yang tidak mampu melibatkan diri dalam proses kognitif seperti mereka yang mengalami kerencatan akal, kecederaan otak, psikosis atau mania. Walau bagaimanapun terdapat klien yang boleh ditolong melalui analisa logik dan falsafah, biarpun terdapat juga klien yang tidak begitu sesuai untuk dibantu dengan kaedah yang sedemikian yang berasaskan kepada logik kerana aras kognitif mereka yang rendah. Seperti sesetengah kes pula, terdapat setengah klien yang begitu terpisah dari realiti sehingga usaha untuk membawanya ke alam nyata sukar sekali untuk dicapai. Klien juga ada yang terlalu berprasangka terhadap logik, sehingga sukar untuk mereka menerima analisa logik dengan baik. Berbeza pula dengan setengah klien yang memang suka mengalami gangguan emosi dan bergantung kepadanya di dalam hidupnya, dan tidak mahu membuat apa-apa perubahan lagi dalam hidup mereka.
PERINGKAT 1
Membina hubungan kaunselor-klien dengan teknik mendengar secara empatik dan membina iklim yang kondusif
PERINGKAT 2
Membimbing klien supaya mendedahkan tingkah laku emotif dan behavioral di bawah sistem Model ABC
PERINGKAT 3
Kaunselor membantu klien membezakan percayaan rasional dengan tidak rasional dan memahami bagaimana percayaan rasional membawa hasil positif manakala kepercayaan tidak rasional membawa hasil negatif.
PERINGKAT 4
Menggunakan teknik pertikai dari masa ke semasa untuk melatih klien mencabar percayaan tidak rasionalnya. Latihan kerja rumah diberikan untuk menangani kepercayaan tidak rasional dan mengekalkan percayaan rasional yang baru dipelajari.
No comments:
Post a Comment