Wednesday, May 16, 2012

Teori Rasional Emotif (Siri I)


Teori Rasional Emotif telah diasaskan oleh Albert Ellis. Beliau dilahirkan pada tahun 1913 di Pittsburgh, Amerika Syarikat. Teori ini terbina apabila beliau mendapati bahawa teori Psikoanalasis yang dipelopori oleh Freud tidak mendalam dan adalah satu bentuk pemulihan yang tidak saintifik. Pada awal tahun 1955, beliau telah menggabungkan terapi-terapi kemanusiaan, fisolofikal dan tingkah laku dan dikenali sebagai teori emosi-rasional (RET). Semenjak itu beliau terkenal sebagai bapa kepada teori RET dan datuk kepada teori tingkah laku kognitif.

Meninjau kepada zaman kanak-kanak Ellis, beliau sering mengalami gangguan kesihatan. Beliau pernah dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan nefritis sebanyak 9 kali. Tetapi Ellis seorang yang bercita-cita tinggi iaitu ingin menjadi seorang pakar psikologi. Beliau mempunyai kebolehan dalam memberikan perkhidmatan kaunseling. Oleh itu beliau mula mempraktikkan terapi perkahwinan, keluarga dan seksual. Pada tahun 1947 hingga 1953 Ellis telah menjalankan kajian secara klasikal berasaskan psikoterapi. Hasil kajian mendapati bahawa terapi psikoanalisis tidak begitu menyeluruh dan tidak saintifik.

Ellis berpendapat pendekatan yang dibawakan oleh Freud kurang lengkap kerana ada individu yang bertambah teruk selepas menjalani pendekatan psikoanalisis. Hipotesis RET berdasarkan bahawa emosi berpunca daripada kepercayaan, penilaian, interpretasi dan tindakan daripada situasi kehidupan. Di dalam proses teraputik emosi-rasional, klien mempelajari kemahiran yang akan digunakan untuk mengenal dan memerangi kepercayaan yang telah tertanam lama di dalam diri seseorang. Ini disebabkan oleh teori ini lebih bersifat ‘pendidikan’ daripada perubatan yang direka dalam keadaan di mana kaunselornya aktif terarah dengan tepat dan mengajar. Ellis terkenal dengan bukunya yang bertajuk ‘Reason and Emotion In Psychotherapy’ dan bersama-sama dengan Robert A Harper beliau mengeluarkan buku berjudul ‘A Guide to Rational Living’.
Pendekatan Teori

RET juga dikenali sebagai Terapi A-B-C yang mana merupakan suatu teori yang mempunyai kelainan dengan teori-teori yang lain terutamanya Teori Psikoanalisis, Teori Pemusatan Insan, Gestalt dan lain-lain lagi. Ini disebabkan oleh teori ini mementingkan tiga aspek utama iaitu kognitif, emosi dan aspek tingkah laku. Teori ini memberi penekanan kepada pemikiran, penganalisaan, penilaian, perlakuan dan membuat keputusan. Pendekatan teori ini bercorak deduktif atau mengajar, mengarah dan mengutamakan kepada pemikiran daripada kepercayaan yang tidak rasional.

Terapi ini yakin bahawa setiap individu mempunyai sistem kepercayaan yang tidak rasional. Kepercayaan ini perlu dicabar dan diperbetulkan supaya dapat mewujudkan sistem kepercayaan yang baik dan rasional. Dalam konteks ini ia merupakan satu sistem pendidikan semula yang mengajar individu untuk melihat semula sistem kepercayaan yang membuatkan dirinya menderita dengan menggantikan semula dengan satu set kepercayaan yang membawa kesejahteraan dan kebahagiaan pada diri seseorang individu dan seterusnya kepada orang yang signifikan dengannya.

Prinsip terapi RET boleh digunakan kepada masalah semasa, masalah yang lain dalam kehidupan dan juga masalah yang mungkin dihadapi pada masa akan datang. Fokus prinsip ini adalah kepada pemikiran dan tindakan, bukan hanya mengikut perasaan. Terapi ini dianggap sebagai satu proses pembelajaran kerana fungsi kaunselor yang berbagai-bagai. Kadang kala kaunselor bertindak sebagai seorang guru, yang memberi tugasan kepada pelajar iaitu klien dalam konteks terapi ini. 

Teori Ellis ini berasaskan andaian bahawa individu-individu mempunyai keupayaan bertindak sama ada dalam bentuk rasional mahupun tidak rasional. Tingkah laku rasional ialah dilihat sebagai keberkesanan dan kemungkinan produktif, manakala tingkah laku yang tidak rasional pula hasilnya dalam keadaan tidak gembira dan menghasilkan ‘output’. 
Menurut J Blackham dalam Muhd Mansur Abdullah (1997), dua tujuan utama RET iaitu; pertama mendemonstrasikan pada klien bahawa berkata-kata kepada diri sendiri itu adalah akibat daripada gangguan; dan kedua, menilai kembali berkata dalam diri demi menghapuskannya dan menolak semua idea yang tidak logik. Dalam buku-buku Ellis seperti The Art And Science Of Love, The Intelligent Woman’s Guide To Man-Hunting, Humanistic Psychotherapy dan The Rational-Emotive Approach banyak menggambarkan sifat manusia. Misalnya, kemampuan manusia berfikir sesuatu melalui proses-prosesnya. Ellis menggalakkan manusia supaya menganggap diri mereka adalah berkebolehan. Dia yakin jika manusia boleh menggunakan rasional mereka dalam mentadbir diri, maka tidak ada lapangan dalam kehidupan mereka yang tidak boleh diperbaiki.

Menurut Muhd Mansur Abdullah (1997), dalam melahirkan teorinya Ellis banyak menggunakan sistem-sistem psikologi dan falsafah iaitu menggabungkan intipati Falsafah Stoic, Psikoanalisis Freud, Psikologi Individu Alfred Adler dan Orientasi tingkah laku Pavlov dan Wolpe. Semua sistem itu membantunya meneguhkan lagi teori dan pendekatannya. Sebab itulah Ellis menekankan: “When people emote they also think and act. When they act, they also think and emote. When they think, they also emote and act. To understand self-defeating behavior , one must understand how a person feels, thinks, perceives and acts”. 


Pandangan Teori Terhadap Manusia

Hubungan emosi dan pemikiran adalah berhubung rapat dan tidak boleh untuk dipisahkan. Oleh sebab itu segala pemikiran dan kepercayaan yang tidak rasional itu berpunca daripada proses dan pengaruh budaya dan pembelajaran . Menurut George dan Cristiani (1995) telah mengandaikan bahawa manusia bertindak sebagai penilai, perunding dan pengawal diri. Gangguan emosi dan tingkah laku akan bermula apabila manusia menganggap beberapa keutamaan seperti keinginan untuk disayangi, diperakui kejayaan dan menganggap keutamaan tersebut sebagai keperluan yang utama. RET juga memandang bahawa manusia dilahirkan dengan beberapa kecenderungan ke arah perkembangan dan pengiktirafan diri tetapi mereka akan mengkhianatinya disebabkan oleh kecenderungan untuk berfikir tidak rasional dan contoh-contoh mengalah diri yang telah mereka pelajari.

Menurut Gerald Corey (1996) pula mendapati bahawa terapi RET berlandaskan kepada andaian bahawa manusia dilahirkan dengan keupayaan untuk berfikiran secara rasional dan tidak rasional. Manusia berupaya untuk memelihara dirinya, bergembira, berfikir, menterjemahkan diri, sayang menyayangi, berkomunikasi dengan orang lain, berkembang dan mengiktiraf diri sendiri. Manusia juga berkecenderungan untuk merosakkan dirinya, tidak mahu berfikir, suka menangguh untuk membuat sesuatu, mengulangi kesilapan, tidak sabar, mementingkan kesempurnaan semata-mata, selalu menyalahkan diri sendiri, cuba mengelakkan pengikhtirafan dan pertumbuhan potensi. Fenomena ini meyakinkan terapi ini dapat membantu manusia untuk menerima kembali diri mereka sendiri setelah melakukan kesilapan dan belajar untuk hidup lebih harmonis.

Hackey dan Cormier (1995) berpendapat bahawa RET, membuat andaian tentang gangguan emosi manusia adalah disebabkan oleh pemikiran yang tidak rasional. Hubungan antara emosi dan pemikiran terlalu rapat sehingga tidak boleh dipisahkan kedua-duanya. Manusia juga dilahirkan dengan suatu potensi untuk berfikiran secara lurus dan rasional dan juga secara tidak rasional. Manusia sendirilah yang menyebabkan dirinya merasa terganggu dan gangguan itu bukanlah disebabkan oleh sumber-sumber luaran tetapi berpunca dari diri individu itu sendiri.

Manusia mempunyai keupayaan untuk mengubah proses-proses kognitif, emotif dan tingkah lakunya. Mereka boleh memilih untuk bertindak dengan cara yang berlainan daripada pola tingkah laku yang normal. Mereka juga boleh memilih untuk tidak membenarkan dirinya terganggu dan boleh melatih diri untuk mengalami gangguan yang minimun selagi hayat masih ada.

Ee Ah Meng (1991) berpendapat bahawa terapi RET yang dikembangkan oleh Ellis dalam tahun 1950 an adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa manusia perlu mengubah cara berfikir supaya boleh memperbetulkan pemikiran yang tidak rasional. Baginya manusia dilahirkan dalam dunia yang tidak rasional dan manusia menjadi semakin tidak rasional apabila berada dalam sistem kepercayaan mereka.

Suradi Salim (1996) mengandaikan bahawa manusia berupaya untuk berfikiran rasional dan tidak rasional. Dalam pemikiran seseorang individu terdapat sistem kepercayaan yang berkecenderungan untuk berfikir ke arah tidak rasional. Apabila sesuatu peristiwa terjadi maka individu itu selalu mengandaikan suatu kepercayaan terhadap peristiwa tersebut sama ada ianya baik atau sebaliknya. Manusia juga sering mempercayai tahyul yang menyebabkan mereka membuat sesuatu keputusan yang tidak mengembirakan. Oleh itu kaunselor perlu bertanggungjawab untuk mewujudkan sistem kepercayaan individu tersebut supaya menjadi rasional bagi membantunya memperolehi kehidupan yang lebih harmonis.

Menurut teori RET, seseorang yang bermasalah akan mempunyai suatu sistem kepercayaan atau suatu ‘belief system’ yang penuh dengan kepercayaan yang tidak rasional mengenai perkara yang dilihat atau dialaminya. Albert Ellis telah memberikan beberapa idea tentang pemikiran yang tidak rasional, antaranya adalah seseorang individu mempercayai bahawa ia mesti disayangi oleh orang-orang penting atau signifikan kepada dirinya seperti ibubapa, adik-beradik dan rakan-rakan. Individu juga percaya bahawa ia mesti membuktikan bahawa ia seorang yang berkebolehan dan berkemampuan. Seseorang individu juga mempercayai bahawa jika terdapat individu yang lain melakukan kesalahan atau tidak berlaku adil, maka seharusnya ia dikutuk dan menyalahkan dirinya dan dilihat sebagai orang yang tidak baik. Masa lampau juga dianggap sangat penting kerana ia mempengaruhi hidup seseorang individu. Ellis mempercayai bahawa masa lampau itulah yang akan menentukan perasaan seseorang individu pada masa kini.

Seseorang individu itu juga mempercayai bahawa ia perlu melihat kehidupannya yang sangat teruk jika ia tidak dapat menyelesaikan masalah kepada kehidupannya. Individu juga mempercayai bahawa ia perlu berpandangan tidak baik sekiranya ia dikecewakan, disisih atau tidak dilayan secara adil. Jika berhadapan dengan perkara-perkara yang merbahaya, seseorang individu mempercayai bahawa ia perlu memikirkannya dan akan risau tentangnya.

Bagi menerangkan dengan jelas bagaimana gangguan emosi dan fikiran berlaku maka kita akan menggunakan konsep ABCDE yang telah dinyatakan oleh Ellis iaitu A ialah penggerak pengalaman activating experience atau peristiwa, faktor sikap atau tingkah laku yang dialami oleh seseorang. Misalnya gagal dalam peperiksaan. B pula adalah sistem kepercayaan yang dianuti oleh seseorang person’s belief system. Misalnya, “saya tidak kelihatan cantik atau hodoh”. Manakala C ialah akibat consequence iaitu hasil daripada penilaian oleh B ke atas A dan ditafsirkannya. Misalnya, sentiasa keadaan muram dan tidak bersemangat. D pula adalah kaedah-kaedah untuk berhujah, mengajar, mencabar dan memperbetulkan sistem kepercayaan yang tidak rasional yang menyebabkan individu itu mengalami suatu reaksi emosi yang tidak rasional. Misalnya, “Saya tidak mahu kamu yang menyebabkan saya mengalami kerugian besar dalam hidup saya”. Dan akhir sekali E ialah menjadi normal dan mempunyai sistem kepercayaan dan penilaian yang rasional dan positif. Misalnya Saya rasa gembira.

Corey (1996) menjelaskan bahawa konsep ABC dalam teori RET adalah seperti berikut; Menurut beliau, prinsip asas kepada gangguan emosi adalah sebahagian besarnya akibat daripada hasil pemikiran tidak rasional dan pemikiran kalah diri. Hasil daripada pemkiran ini menyebabkan seseorang individu itu suka menyatakan sesuatu dengan perkataan ‘sepatutnya’, ‘seharusnya’ dan ‘semestinya’. Dari perspektif RET, ramai terapis telah membuat kesilapan kerana memfokuskan kepada sejarah hidup yang lampau dan cara tindakan ialah semua peristiwa masa kanak-kanak boleh diubah. Terdapat juga terapis melakukan kesilapan dengan terlalu menekankan dalam usaha klien mengenal diri, meluahkan perasaan dan perubahan pemikiran. Keadaan ini mendorong klien melupakan peristiwa awal kanak-kanak dan menumpukan pemikiran sekarang. Bagi Ellis cara ini tidak produktif kerana sesuatu yang menyebabkan emosional tidak akan hilang malah ia akan menambahkan lagi kehebatan perasaan tersebut. 
Oleh itu bagi Ellis , terapis dan klien perlu bekerjasama untuk mencabar kepercayaan tidak rasional yang mengakibatkan gangguan emosional. Mereka perlu menuju ke arah mengubah perkara yang tidak realiti, tidak matang, terlalu menuntut dan tidak lojik kepada pemikiran yang logik, matang dan realistik. Persoalannya, bagaimanakah emosional yang terganggu itu boleh wujud di dalam diri seseorang individu? Dalam hal ini , Ellis telah menjelaskan bahawa individu yang mengalami gangguan kerana sentiasa berterusan mengulangi ayat-ayat yang tidak logikal.Misalnya , individu itu berkata : “Saya sangat kecewa dengan kegagalan peperiksaan ini. Kegagalan saya semuanya berpunca dari kesilapan saya sendiri. Saya adalah merupakan manusia yang paling bodoh” 

Gangguan emosi ini menyebabkan wujudnya depresi dan anxieti dalam diri seseorang. Keadaan ini akan mengakibatkan individu itu akan kekal berpegang dengan kepercayaan yang tidak rasional itu. Kepercayaan inilah yang perlu dibantu oleh kaunselor agar klien tersebut dapat merasionalkan dirinya dalam menghapuskan fahaman-fahaman dan kepercayaan yang tidak rasional yang ada pada dirinya.

No comments: